Bekas pemain Manchester United, Ryan Giggs berkata Swansea City tidak mampu menandingi cita-citanya ketika membincangkan masa depannya sebagai pengurus kelab.

Bob Bradley minggu ini telah dilantik menjadi pengendali pasukan menggantikan Francesco Guidolin tetapi Giggs turut dilihat sebagai pilihan untuk mengambil alih tugas itu.

Bagaimanapun, Giggs memberitahu dia tidak lagi berminat untuk berkhidmat bersama kelab Liga Perdana itu.

"Saya telah menikmati tahun ini dengan melancong ke beberapa negara serta terlibat dalam bidang penyiaran sebagai pengulas sukan, dan saya menerima panggilan daripada Swansea," kata Giggs.

"Saya telah bertemu mereka beberapa kali tetapi ada perkara yang kami gagal mencapai persetujuan bersama, dan saya dapat berasakan cita-cita mereka tidak selari dengan saya."

Giggs berkhidmat bersama Louis van Gaal sebagai penolong jurulatih selama dua tahun, di samping mengambil alih jawatan pengurus dalam empat perlawanan selepas David Moyes meninggalkan United.