Ryan Giggs menggesa Manchester United agar mendapatkan khidmat penyerang Arsenal, Alexis Sanchez, bagi menghadapi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2017-18.

Masa depan pemain kebangsaan Chile itu di Stadium Emirates semakin hampir ke penghujungnya selepas dia menangguhkan perbincangan untuk memperbaharui kontraknya.

Manchester City dan Chelsea dilihat sebagai antara pasukan yang berminat mendapatkan khidmat pemain berusia 28 tahun itu tetapi Giggs berasakan dia merupakan pilihan yang ideal buat United.

"Sanchez adalah pemain yang mengagumkan," kata Giggs.

"Kadar kerjanya, impak yang dipamerkan kepada rakan sepasukannya, dia adalah seorang pemenang.

"Pengendali pasukan, Jose Mourinho, membawa Zlatan Ibrahimovic menyertai The Red Devils kerana beliau menyedari dia adalah seorang pemenang.

"Dia telah memenangi segala-galanya. Ibrahimovic memberikan kesan buat rakan sepasukan di atas padang, malah di luar padang juga."

Sanchez telah menjaringkan 26 gol dalam 48 penampilan dalam semua pertandingan musim ini.