Ryan Giggs membidas pemain-pemain Manchester United yang didakwanya masih mampu ketawa selepas dibelasah Chelsea 4-0 di Stamford Bridge pada Ahad.

Pasukan bimbingan Jose Mourinho ternyata diperbudakkan sekembalinya pengurus berbangsa Portugis itu ke Chelsea dan Giggs, yang menghabiskan 29 tahun di United sebagai pemain dan jurulatih, mengharapkan pemain-pemain berduka selepas prestasi hambar mereka.

Zlatan Ibrahimovic dan Juan Mata, kedua-duanya bergambar dengan tersenyum sambil Anthony Martial mendakap mesra rakan sepasukan Perancis, N'Golo Kante, yang membuatkan Giggs langsung tidak teruja.

Dia memberitahu saluran televisyen Liga Perdana: “Anda boleh ditewaskan dalam satu perlawanan bola sepak tapi apabila anda ditewaskan dan masih bertukar-tukar jersi, itu sesuatu yang saya tidak suka.

“Jika anda ditewaskan 4-0, anda ucapkan tahniah kepada pasukan lawan, anda ucapkan terima kasih kepada penyokong dan kemudian anda tinggalkan padang.

“Anda tidak terus berlegar-legar di padang, bertukar-tukar jersi dan ketawa bersama-sama pasukan yang baru menewaskan anda.”