Pep Guardiola mendakwa tonggak baru Manchester City, Gabriel Jesus, seperti membeli sebiji tembikai.

Pemain antarabangsa Brazil itu merupakan bintang dalam ciptaan dalam dunia bola sepak selepas menyerlah bersama Palmeiras dan City mengambil langkah awal dengan mengikatnya Ogos lalu, sebelum dia hadir ke City secara rasminya pada Januari lalu.

Pengurus City, Guardiola, mengakui dia tidak tahu apa yang mahu dijangkakan ke atas penggempur itu menjelang aksi hujung minggu ini.

Jesus tampak berbisa pada awal kariernya di City apabila menampilkan aksi menarik ketika membenam Crystal Palace 3-0 dalam saingan Piala FA sebelum membuka akaun jaringannya bersama kelab itu dalam kemenangan 4-0 ke atas West Ham, awal pagi tadi.

"Siapa yang tahu... Ia seperti buah tembikai. Anda perlu membukanya untuk mengetahui sama ada ia bagus atau tidak," kata Guardiola kepada Sky Sports.

"Perspektif terhadapnya bagus. Dia merupakan bakat muda dan memiliki mentaliti yang besar. Dia juga agresif.

"Dia mahu menjadi pemain yang bagus. Dia memiliki impian dan mempunyai perancangan terhadap masa depannya. Itu sangat membantunya.

"Dia gemar membuat asakan dan mahu menjaringkan gol."