FPL Minggu ke 23: Pilihan lain

By Azmin Mohd Khalib 31 January 2017
FPL Minggu ke 23: Pilihan lain

Malam ini bermulanya Minggu 23 untuk permainan Fantasy Premier League. Kalau kita lihat jadual, minggu ini berpotensi menjadi minggu meletup, dengan markah mencecah lebih 80+ mata. Kita mulakan dengan senarai perlawanan yang mampu memberikan pulangan lumayan:

Manchester United v Hull City
Arsenal v Watford
Sunderland v Tottenham

Ok, saya rasa tidak perlu saya ceritakan pemain seperti Ibrahimovic, Sanchez ataupun Kane, tetapi saya ingin fokus kepada pemain yang mungkin anda kurang terfikir dalam memilih pemain untuk minggu ini.

Salomon Rondon

Salomon Rondon ketandusan gol sejak menjaringkan 3 gol menentang Swansea pada 15 December yang lepas, dan akibatnya dia tiada lagi dalam muka surat pertama pemain yang paling banyak terpilih dalam pasukan fantasi. Namun, tanda-tanda kelihatan yang ini akan diselesaikan apabila berhadapan Middlesbrough, pasukan yang perlu memperbaiki pertahanan mereka.

Pertahanan Middlesbrough ketika ini tidak stabil, dengan kehilangan Callum Chambers dan George Friend (kemungkinan akan diganti Ayala dan Barragan). Mereka tewas kepada West Ham di gelanggang sendiri minggu lepas, dan walaupun mereka menang dalam pertandingan Piala FA, Accrington Stanley adalah pasukan yang berada dalam liga bawahan dalam bolasepak Inggeris (itupun cuma menang 1-0 sahaja)..

Middlesbrough perlu memperbaiki permainan mereka, dan temubual ganjil pengurus mereka, Aitor Karanga, selepas perlawanan menentang West Ham, tidak membantu, apabila beliau menyalahkan penyokong kerana menjadikan suasana yang negatif. Beliau juga menyuarakan kemarahan dengan pentadbiran kelab Middlesbrough kerana tidak berjaya membeli pemain yang diharapkan. Riverside tidak lagi sekuat seperti tahun lepas, dan keyakinan semakin goyah.

Rondon bersama Chris Brunt, Nacer Chadli dan Matt Phillips bakal menjatuhkan Middlesbrough untuk kali ini, cuma saya berpendapat di antara mereka, minggu ini adalah milik Rondon.

Eden Hazard

Walaupun Hazard dimiliki 30.9% pengurus fantasi, namun statistik ini tidak menggambarkan keadaan yang sebenarnya. Ketika artikel ini ditulis, dia kini pemain yang kedua paling banyak dijual untuk pusingan ini (selepas Lallana), dengan lebih 102,000 pengurus menjualnya.

Memang Hazard sangat mengecewakan kebelakangan ini. Walaupun dia adalah masalah besar buat banyak pasukan lain, ini tidak diterjemahkan dari segi pulangan mata fantasi, dengan gol yang terakhirnya lebih sebulan yang lalu pada hari Boxing Day. Sebaliknya, pemain seperti Diego Costa lebih konsisten, dan pemain lain juga telah menjaringkan gol lebih berbanding Hazard akhir-akhir ini seperti Pedro dan Alonso.

Pertahanan goyah Liverpool pasti dapat membantu pulangan Hazard. Walaupun dia mungkin menghadapi masalah menentang pasukan yang lebih berfokus kepada pertahanan, Liverpool bukan pasukan sebegitu (walaupun, sejujurnya, mungkin Liverpool sendiri perlu berubah). Jaringan penalti juga mempunyai kemungkinan yang tinggi.

Apa-apa pun, perlawanan Liverpool-Chelsea pasti menarik.

Andre Gray

Burnley bukanlah pasukan yang banyak menjaringkan gol, tetapi, kalau ada, Andre Gray biasanya terlibat. Perlawanan menentang Arsenal mendapati dia juga masih diberi tanggungjawab menyempurnakan penalti.

Minggu ini Burnley berhadapan Leicester yang sekali lagi bermasalah. Walaupun Riyad Mahrez telah pulang dari kejuaraan Africa Cup of Nations, pertahanan mereka yang masih lagi kucar-kacir dan tidak menampakkan peningkatan. Pada Sabtu lepas, mereka bernasib baik dalam mendapatkan seri menentang Derby dalam Piala FA.

Gray ketika ini dimiliki hanya 5.5% pengurus fantasi di dunia, peratus yang mungkin naik selepas habisnya perlawanan menentang Leiciester (Watford pula akhir minggu ini). Oh, ya, dia juga memperolehi sokongan baru di midfield, Encik Joey Barton. Menarik bukan?

Pemain lain untuk diambil kira: Dusan Tadic, Christian Benteke

Berita Terkini Pasukan Bola Sepak Fantasi Malaysia:

Pasukan Malaysia tertinggi di dunia ketika ini masih The Champs yang diurus Putera Fiez, tetapi dia kini jatuh ke tangga ke 15, 83 mata di belakang pendahulu keseluruhan, iaitu Hebknut. The Champs diikuti Muevelo di tangga ke 23 dunia, yang diurus Melvyn Shane. Tempat ketiga di Malaysia dimiliki Technical Solo dalam kedudukan ke 42 dunia.

Selamat berjaya semua!

About Author

Azmin Mohd Khalib

Comment