Pertahanan Fulham, Timothy Fosu-Mensah, memohon maaf kepada Troy Deeney sambil menyifatkan terjahan ke atas penyerang Watford itu tidak disengajakan ketika kedua-dua pasukan terikat seri 1-1, semalam.

Fosu-Mensah, yang kini melalui proses pinjaman jangka panjang di Craven Cottage daripada Manchester United, dilayangkan kad kuning dalam babak pertama sewaktu melayan kunjungan Watford.

Terjahan yang dilakukan itu bukan sahaja keras, malah ia terjadi pada detik yang salah sehingga pengadil perlawanan, Martin Atkinson, tidak teragak-agak untuk mengeluarkan kad.

Bagaimanapun, pemain berusia 20 tahun itu mendedahkan menerusi laman Twitter peribadi bahawa dia tidak berniat mencederakan lawannya itu tatkala dia turut memuji kebangkitan Fulham dalam separuh masa kedua untuk mendapatkan satu mata.

"Perlawanan yang baik! Kami dapat memperbaiki persembahan buruk sebelum rehat dan kembali dengan lebih bagus!" kata Fosu-Mensah.

"Saya mahu memohon maaf di atas terjahan saya ke atas Deeney. Ia tanpa niat."

Pelawat terlebih dahulu berada di depan selepas Andre Gray menyumbat gol pembukaan pada minit kedua, namun Watford gagal menambah jaringan walaupun mendominasi permainan.

Bagaimanapun, Fulham mempamerkan kebangkitan dalam babak kedua sebelum menyamakan kedudukan menerusi Aleksandar Mitrovic, sekali gus meraih gol perbadi kelima, musim ini.

Pengendali Watford, Javi Garcia, berpuas hati dengan persembahan pasukannya walaupun terlepas peluang mencipta kemenangan.

"Kami mencipta banyak peluang selepas menjaringkan gol tetapi tidak menamatkan perlawanan," ujar Garcia.

"Saya tetap gembira walaupun dapat rasa kekecewaan pemain-pemain kerana hanya mengutip satu mata. Mereka mempamer keinginan dan ia bagus."