TOTTENHAM HOTSPUR 3 HULL CITY 0

Mauricio Pochettino memuji aksi anak buahnya yang berjaya menyesuaikan diri dengan formasi baru selepas menyaksikan anak buahnya melakar kemenangan 3-0 ke atas Hull City di White Hart Lane.

Spurs beraksi dengan tiga pertahanan, dengan Pochettino meletakkan Kyle Walker dan Danny Rose di bahagian sayap.

Eriksen paling mencuri tumpuan apabila menyumbang dua gol sebelum jaringan Vincent Wanyama melengkapkan kemenangan di hadapan penyokong sendiri.

Tottenham mempamerkan aksi sempurna menjurus ke gol pembukaan perlawanan apabila menyempurnakan 30 hantaran sebelum Christian Eriksen melakukan penyudah pada minit ke-14.

Pemain antarabangsa Denmark itu sekali lagi melakar jaringan pada minit ke-63 dan hampir melengkapkan hatrik pada minit ke-73, namun sepakan percuma pemain itu sekadar menggegar tiang gol sebelum Wanyama melengkapkan gol ketiga perlawanan.

"Banyak perkara yang mampu dipelajari dalam perlawanan ini," jelas Pochettino. "Kami menerapkan corak permainan yang berbeza dan ia membuahkan hasil.

"Kadang-kala ia sesuatu yang baik untuk cuba menerapkan formasi berbeza bagi menghadapi senario yang pelbagai. Keputusan ini menakjubkan.

"Saya melihat ada masanya kami bermain dengan cukup baik, namun ada kalanya kami bergelut. Apabila kamu berdepan pasukan yang sedang berjuang untuk mengelakkan zon penyingkiran, kamu akan berdepan kesukaran.

"Mereka cukup agresif tetapi kami berhak mendapat tiga mata ini.

"Saya berpuas hati kerana kemenangan ini merapatkan jurang dengan kelompok empat terbaik liga."

Sementara itu, pengendali Hull City, Mike Phelan, kelu dengan kekalahan pasukannya.

"Sukar untuk saya jelaskan apa yang berlaku sedangkan pemain saya mendapat banyak peluang," kata Phelan.

"Kami tewas 3-0 kerana Spurs memiliki kualiti di saat yang tepat."