Antonio Conte memuji kesungguhan pemain-pemainnya selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas Hull City di Stadium KCOM pada Sabtu.

Dua gol dalam tempoh tujuh minit pada babak kedua oleh Willian dan Diego Costa mengesahkan tiga mata buat Chelsea.

Tewas dua perlawanan berturut-turut berdepan Arsenal dan Liverpool sebelum ini, Conte menerapkan formasi 3-4-3 sepertimana dilakukan ketika bersama Juventus dan Itali.

Bagaimanapun, kesungguhan yang dipamerkan anak buahnya mendapat pujian Conte, terutama pada separuh masa kedua dan Hull bernasib baik kerana tidak dihukum dengan jumlah gol yang lebih besar.

"Penting untuk kami menang selepas tewas dua perlawanan sebelum ini," katanya ketika sesi sidang media. "Kemenangan ini penting kerana pemain bekerja keras ketika latihan.

"Selepas dua kekalahan, bukan mudah untuk kembali bangkit dan cuba mencari jawapan untuk memperbaiki keadaan.

"Hari ini, kami turun dengan prestasi terbaik di samping memberi tekanan kepada pihak lawan. Saya teruja melihat pemain saya bermain sebegini.

"Saya melihat pemain menampakkan komitmen dan karektor untuk cuba mengubah keadaan. Saya gembira melihat mereka bermain sebegitu."

Ini merupakan kali pertama Chelsea berjaya mengakhiri tempoh 90 minit tanpa bolos dalam empat perlawanan sejak kehilangan khidmat kapten, John Terry, ketika diikat seri 2-2 oleh Swansea City sebelum ini.

"Kami bolos terlalu banyak sebelum ini," tambahnya.