Kapten Southampton, Jose Fonte, yakin mereka mampu hadir lebih tajam di hadapan gawang lawan selepas menyaksikan skuad kendalian Claude Puel itu gagal menterjemahkan sebarang jaringan apabila sekadar seri 0-0 berdepan Leicester City.

Percubaan penyerang The Saints, Charlie Austin, sekadar menggegar palang gol sebelum mensia-siakan peluang terhidang di Stadium King Power pada Ahad.

Nathan Redmong dan James Ward-Prowse turut gagal membuat penyudah berkesan.

Bagaimanapun, Fonte -- salah seorang pemain yang tidak bertandang ke Israel dalam aksi Liga Europa, Khamis lalu -- kekal yakin mereka tidak akan mengulangi perkara sama dalam perlawanan seterusnya.

"Kami menguasai hantaran bola dan mengawal permainan, kami juga mencipta lebih banyak peluang berbanding Leicester," ujarnya.

"Jadi, sudah tentu saya kecewa kami gagal mengutip tiga mata, namun bertandang ke Stadium King Power bukan perkara mudah kerana kami berdepan pasukan penyandang juara.

"Memastikan gawang kami tidak bolos sudah boleh dianggap sebagai satu keputusan positif.

"Perlawanan ini membuktikan kami sememangnya pasukan yang ampuh. Kami menghasilkan banyak peluang, namun gagal dimanfaatkan tetapi saya yakin gol diharapkan akan hadir dalam perlawanan seterusnya."

Keputusan itu menyaksikan Southampton meneruskan rekod tanpa kalah selepas enam perlawanan dan penjaga gol, Fraser Forster, percaya mereka akan terus memperbaiki aksi di bawah kendalian pengurus baru.

"Kami menjangkakan perlawanan yang sukar, apatah lagi baru saja pulang dari perjalanan yang jauh daripada aksi Liga Europa.

"Momentum kami sangat baik ketika ini dan kami perlu meneruskannya."