Pep Guardiola menyifatkan Phil Foden sebagai pemain paling berbakat pernah ditemuinya tetapi tidak menjanjikan waktu bermain lebih banyak buat bintang muda England itu.

Lahir daripada akademi Manchester City, Foden sering keluar masuk daripada skuad utama dalam dua musim terakhir, dengan melakukan 26 penampilan dalam semua kejohanan musim lalu.

Pemain berusia 19 tahun itu masuk selaku pemain gantian dalam kemenangan 6-1 ke atas Kitchee, Rabu lalu, selepas lewat kembali bersama skuad susulan aksi Kejohanan Eropah B-21 bersama England.

Tatkala Guardiola mendedahkan City tidak akan membawa masuk pemain baru selepas kehadiran Rodri dan Angelino, Foden dilihat berupaya turun beraksi lebih kerap.

Dan Guardiola, yang bakal menyaksikan anak buahnya berdepan Yokohama F. Marinos petang ini, mengakui bakat yang dimiliki Foden.

"Dia adalah pemain paling berbakat pernah saya temui," katanya.

"Kadangkala masalahnya adalah jarang berada dalam kesebelasan utama.

"Dia berhak untuk beraksi tetapi persaingan tidak mudah. Dia bekerja keras. Saya tahu saya di sini untuk membantunya."

Selepas berdepan Marinos, juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu akan melakukan persiapan menjelang aksi Perisai Komuniti menentang Liverpool di Wembley, 4 Ogos ini.