Phil Foden berpuas hati dengan peluang yang diberikan dalam skuad utama Manchester City musim ini.

Pemain skuad England B-21, Foden, diberikan penampilan pertama dalam skuad senior ketika berusia 17 tahun musim lalu dan beraksi dalam 15 perlawanan bagi semua kejohanan setakat ini.

Bagaimanapun, dia masih belum beraksi di pentas Liga Perdana Inggeris musim ini dan tidak berada dalam senarai pasukan ketika City menundukkan pendahulu liga, Liverpool, Khamis lalu.

Foden dijangka berada dalam kesebelasan utama menjelang aksi pusingan ketiga Piala FA di Etihad malam ini tatkala dia tampil dalam kesemua perlawanan bagi saingan Piala Liga musim ini. Separuh akhir pertama menentang Burton Albion akan berlangsung Rabu depan.

Selepas menandatangani kontrak jangka panjang baru bulan lalu, penglibatan Foden bersama skuad bimbingan Pep Guardiola itu menjadi perhatian, terutama apabila bersaing bersama produk akademi City yang lain.

Jadon Sancho menyinar sejak menyertai Borussia Dortmund pada 2017, dipanggil ke skuad England kendalian Gareth Southgate tatkala Brahim Diaz dilaporkan bakal berhijrah ke Real Madrid selepas memasuki tempoh kontrak enam bulan terakhir.

"Setiap kali beraksi buat City, saya menikmatinya. Saya cuba dan mengambil setiap peluang," kata Foden.

"Saya rasa telah menjalankan tugas dengan baik. Saya masih belajar dan cuba untuk meningkat.

"Setiap hari, saya cuba menjadi lebih baik untuk semua bahagian. Saya masih muda dan perlu belajar banyak perkara."

Piala FA merupakan satu-satunya kejuaraan domestik yang gagal diraih anak buah Guardiola itu musim lalu selepas disingkirkan oleh Wigan Athletic dalam pusingan kelima.

Justeru, Foden berwaspada dengan cabaran yang bakal diberikan kelab daripada liga bawahan, Rotterham, yang kini menduduki tangga ke-21 Liga Kejuaraan.

"Mereka akan hadir untuk menang serta menampilkan aksi terbaik.

"Kami memandang serius perlawanan ini dan melakukan persiapan seperti biasa.

"Lawan mungkin mempunyai perancangan seperti meletakkan lima pertahanan dan mendapatkan pemain dari belakang bola, jadi kami perlu menyesuaikan diri.

"Kami perlu kekal memegang bola, sabar dan cuba mengatasi mereka. Ia tidak akan menjadi aksi yang mudah, jadi kami akan cuba jalankan tugas dengan baik."