Viktor Fischer telah meninggalkan Middlesbrough selepas hanya semusim untuk menyertai pasukan Bundesliga, FSV Mainz.

Fischer mengikat kontrak empat tahun untuk berhijrah ke Opel Arena.

Pemain antarabangsa Denmark itu berhijrah ke Riverside dari Ajax selepas melakar nama sebagai pemain sayap hebat dengan membantu kelab Belanda itu merangkul dua kejuaraan Eredivisie dalam tempoh empat musim.

Bagaimanapun, Fischer menempuh karier mengecewakan di England apabila hanya membuat enam penampilan dalam kesebelasan utama sebelum Boro disingkirkan ke Liga Kejuaraan.

Terdesak untuk memulakan karier dengan lebih baik, Fischer melihat Mainz sebagai destinasi terbaik untuknya.

"Mainz adalah pasukan yang tepat untuk saya kembali menikmati karier bola sepak," jelas Fischer.

"Mereka memiliki stadium yang hebat dan saya mahu menjadi sebahagian daripada kelab ini dengan mempamerkan kualiti saya sebagai penyerang."

Fischer mengisi kekosongan yang ditinggalkan Jhon Cordoba yang telah menyertai Cologne sehingga 2021.