Pemain tengah Manchester City, Fernandinho, menafikan dakwaan yang mengaitkannya telah bertikam lidah dengan bintang Barcelona, Lionel Messi.

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan meraih kemenangan 3-1 ke atas Barca di Stadium Etihad dalam aksi Liga Juara-Juara, semalam.

Messi dilaporkan terbabit dengan perbalahan dengan seorang pemain City sejurus perlawanan berakhir, namun Fernandinho menafikan dia sebagai puncanya.

"Saya langsung tidak tahu dari mana khabar angin itu timbul yang mengaitkan saya berperang mulut dan membuat provokasi terhadap Messi," jelasnya menerusi laman sosial, Twitter.

"Saya hanya boleh menegaskan bahawa berita yang disebarkan oleh media itu tidak benar kerana saya langsung tidak menegur mana-mana pemain atau pegawai teknikal Barcelona selepas perlawanan.

"Hasutan dan provokasi tidak mencerminkan watak yang saya junjung dan perasaan hormat saya di dalam dan di luar padang, tidak kira terhadap mana-mana pemain atau pasukan lawan."

Rakan senegara Messi, Sergio Aguero, mendedahkan dia tidak menyedari perbalahan itu kerana sudah sedia maklum, pemain-pemain berada dalam keadaan angin yang tidak baik jika menempa kalah.

Justeru, dia langsung tidak bertegur sapa dengan Messi kerana memahami perasaan kapten Argentina tersebut.