Fernandinho melahirkan kekagumannya terhadap Gabriel Jesus yang cepat menyesuaikan diri dengan kehidupan di Manchester City dan menjangkakan dia akan terus memperbaiki keupayaannya.

Pemain berusia 19 tahun itu sudah merakamkan tiga gol dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak tiba dari Palmeiras bulan lepas, termasuk gol lewat dalam kemenangan ke atas Swansea City, minggu lalu.

Persembahan Jesus itu cukup menyerlah sehingga Sergio Aguero dipinggirkan dalam kesebelasan utama, seterusnya mencetuskan spekulasi masa depannya di kelab itu.

Fernandinho berbesar hati dengan permulaan pemain muda tersebut dan percaya dia berpotensi untuk muncul dalam kalangan pemain terbaik dunia.

"Dia perlu banyak belajar tapi kemunculan awalnya cukup memberangsangkan," kata Fernandinho kepada laman sesawang rasmi kelab itu.

"Saya gembira kerana dia dapat mengharunginya dengan baik dan yakin.

"Paling mustahak, dia mampu menjaringkan gol. Dia cepat menyesuaikan diri. Bola sepak Inggeris bukannya mudah, maka saya secara jujurnya berharap dia terus berada di tahap ini untuk meningkatkan prestasi ke tahap lebih baik lagi.

"Saya percaya dia mampu berkembang lagi dan sangat yakin dia akan menjadi antara pemain berkelas tinggi dunia."