Fernandinho kini berada dalam kelompok tiga pemain tengah bertahan yang terbaik di dunia.

Perkara itu disuarakan oleh pengendali Manchester City, Pep Guardiola, selepas pemain Brazil itu membantu The Citizens meraih permulaan cemerlang musim ini, dengan mencatat sembilan kemenangan dan satu seri dalam 10 perlawanan.

Salah satu faktor kejayaan The Citizens adalah keampuhan jentera tengah yang dikepalai oleh Fernandinho sehingga memberikan kebebasan buat Kevin De Bruyne dan David Silva untuk melancarkan gerakan lebih kreatif.

Guardiola yang telah mengendalikan beberapa pemain tengah hebat dunia seperti Sergio Busquets dan Xabi Alonso berasakan pemain berusia 32 tahun itu memperagakan aksi yang sangat memukau.

"Saya rasa Fernandinho kini adalah salah seorang daripada tiga pemain tengah bertahan terbaik di dunia.

"Dia telah mencapai satu tahap yang lebih tinggi dengan pemikiran positif yang dimiliki, sama seperti John Stones dan Nicolas Otamendi.

"Tanpa atau bersama bola, dia telah memberikan sesuatu kepada kami. Dia kerap beraksi sebagai pertahanan sisi pada musim lalu tetapi tidak pernah merungut.

"Dia hanya bertanya apa yang dilakukan dan bagaimana untuk memperbaikinya. Apabila anda mempunyai pemain sepertinya, anda akan mula untuk memikirkan tentang kemenangan," ujar Guardiola.

Dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), City telah mengesahkan tempat dalam senarai 16 terakhir selepas meraih kemenangan keempat peringkat kumpulan menewaskan Napoli 4-2, Rabu lalu.

Bagaimanapun, dia menolak ketika ditanya mengenai peluang untuk meraih kejuaraan 'treble', mengungguli saingan liga, UCL dan Piala FA.

"Barcelona telah melakukannya, begitu juga Manchester United suatu masa dahulu. Jose Mourinho melakukannya bersama Inter Milan.

"Saya rasa kesemua lima pasukan dari England akan ke pusingan kedua dan itu satu perkembangan yang baik.

"Untuk memikirkan tentang kejuaraan 'treble', ia satu kesilapan buat kami. Tewaskan Arsenal dahulu dan kita akan lihat nanti apa berlaku seterusnya," katanya.

Manchester City bakal melayani kunjungan Arsenal dan kemenangan bakal menyaksikan The Citizens meneruskan rekod tanpa kalah dalam 11 perlawanan.