Ole Gunnar Solskjaer berkata Bruno Fernandes bakal menjadi penambahan berkualiti kepada skuad Manchester United selepas mereka menamatkan perlawanan dengan keputusan seri tanpa jaringan dengan Wolves.

Fernandes, yang berhijrah daripada Sporting CP dengan yuran perpindahan yang mungkin mencecah EURO80 juta (RM363 juta), Jumaat lalu, bermain sepanjang 90 minit ketika United dikecewakan skuad kendalian Nuno Espirito Santo itu di Old Trafford awal pagi tadi.

Pemain tengah kelahiran Portugal itu mencetak lebih banyak percubaan (lima), lebih banyak percubaan tepat ke arah gol (tiga) dan melakukan lebih banyak hantaran (88) berbanding semua pemain United dalam penampilan sulungnya yang bertenaga.

Bagaimanapun, dia gagal mencetus inspirasi kemenangan buat United untuk merapatkan kedudukan dengan penghuni tangga keempat, Chelsea, dalam persaingan merebut slot ke Liga Juara-Juara (UCL).

Solskjaer, bagaimanapun, berpuas hati dengan apa yang dipamerkan Fernandes dan menjangkakan lebih banyak aksi cemerlang daripada pemain-pemainnya.

"Kami mendominasi perlawanan, memiliki penguasaan bola yang banyak. Mereka menghadirkan ancaman menerusi serangan balas dan situasi bola mati.

"Kami telah banyak beraksi sejak dua bulan lalu -- pemain-pemain semakin kepenatan, tahap tenaga mereka sangat rendah dan memerlukan rehat.

"Anda dapat melihat Fernandes adalah seorang pemain berkualiti.

"Dia merupakan pemain yang mendapatkan bola dan mahu rakan sepasukan melakukan larian dan melancarkan serangan.

"Dia adalah penambahan yang berkualiti kepada pasukan."

Santo, yang mendedahkan pemain sayap, Adama Traore, mengalami dislokasi bahu dalam separuh masa pertama tetapi meneruskan permainan, berpuas hati dengan keputusan diraih berdepan United.

"Saya berasakan ia adalah perlawanan yang sengit dan bagus. Separuh masa pertama yang menarik," katanya.

"United mendominasi separuh masa kedua dan menghasilkan masalah kepada kami. Saya sangat gembira dan setiap pemain cuba memberikan yang terbaik."



Editor: Ammar Hakim