Bruno Fernandes berazam untuk melayakkan Manchester United kembali ke Liga Juara-Juara (UCL) selepas menjaringkan gol pertamanya bersama kelab ketika menang 3-0 ke atas Watford di Old Trafford.

Pemain kebangsaan Portugal itu menjadi inspirasi skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu semalam, menjaringkan gol pertama menerusi sepakan penalti sementara melakukan hantaran ketika Anthony Martial dan Mason Greenwood menjaringkan gol sekali gus membantu The Red Devils melonjak ke tangga kelima Liga Perdana Inggeris (EPL).

Fernandes, yang menewaskan penjaga gol Watford, Ben Foster, gembira apabila meraih kemenangan pertama di laman sendiri dan berharap dapat meraih lebih banyak gelaran selepas ini.
"Ini merupakan hari yang mahu dirasai oleh setiap pemain," kata Fernandes. "Saya memiliki sedikit tuah untuk menjaringkan gol dan memenangi perlawanan ini. Kami semua telah memberikan yang terbaik dan ia merupakan perlawanan yang menarik, akhirnya saya meraih kemenangan pertama di laman sendiri.

"Semua orang mengetahui kami mahu mendapatkan tempat dalam Liga Juara-Juara (UCL). Ia bukanlah sesuatu yang baru buat sesiapa. Saya mahu membantu pasukan mencapai sasaran itu dan terus mencipta kemenangan."

Mengenai teknik penaltinya, dia berkata, "Ia adalah cara saya mengambil penalti. Saya berasa yakin dengan cara itu. Saya bukan hanya melepaskan rembatan tetapi berasakan ia adalah cara yang terbaik, jadi saya cuba melakukannya dan sangat bertuah kerana ia masuk."
Bantuan jaringan terhadap Fernandes Martial telah ditolak ketika pemain Perancis itu menjaringkan gol kedua United namun bekas pemain tengah Sporting CP itu berharap itu meneruskan momentum ini.

"Saya berharap Martial menjaringkan lebih banyak gol ketika saya melakukan hantaran selepas ini, saya sepatutnya sudah mendapat dua bantuan jaringan hari ini," kata Fernandes.

"Saya mahu membantu pasukan. Itu tugas saya dan perlu dilakukan untuk kelab."