Bekas pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson, mengucapkan terima kasih kepada kakitangan hospital kerana menyelamatkan nyawanya dalam penampilan umum pertamanya sejak menjalani pembedahan ekoran pendarahan otak.

Pengurus berusia 76 tahun itu dikejarkan ke hospital pada Mei lalu, kurang seminggu selepas tampil di Old Trafford untuk membuat kunjungan akhir kepada Arsene Wenger yang akan mengakhiri kariernya di Arsenal.

Red Devils mengumumkan prosedur itu telah "berjalan sangat lancar" dan pengurus berbangsa Scotland berkenaan kemudian dibenarkan keluar daripada hospital awal bulan lalu untuk meneruskan proses pemulihannya di rumah.

Beliau muncul dalam sebuah video yang diterbitkan oleh kelab itu dengan mengucapkan terima kasih kepada kakitangan perubatan yang merawatnya dan penyokong yang telah memberikan kata-kata semangat.

Ferguson yang kelihatan sihat menyampaikan mesejnya dengan menyatakan penghargaannya kepada kakitangan Hospital Besar Daerah Macclesfield, Salford Royal dan Hospital Alexandra.

"Percayalah, tanpa mereka yang memberikan saya perhatian yang sangat baik, saya tidak akan duduk di sini pada hari ini," katanya.

"Oleh itu, terima kasih daripada saya dan keluarga. Terima kasih banyak.

"Perkara ini membuatkan saya berasa terharu kerana menerima ucapan dari seluruh dunia yang menginginkan yang terbaik buat saya. Ucapan yang baik memberi makna yang sangat besar kepada saya. Dengan itu , terima kasih atas sokongan yang telah anda berikan kepada saya.

"Akhir sekali, saya akan kembali pada musim ini untuk menonton aksi United. Sementara itu, semoga berjaya buat Jose (Mourinho) dan pemain."

Ferguson memenangi 13 kejuaraan Liga Perdana, lima Piala FA dan dua Liga Juara-Juara dalam tempoh 27 tahun yang mengagumkan di bawah kendaliannya yang sebelum ini mengetuai Aberdeen untuk meraih tiga kejuaraan Liga Perdana Scotland dan Piala Juara-Juara UEFA.

Masalah kesihatannya mencetuskan mesej sokongan daripada seluruh dunia bola sepak, termasuk daripada bekas pemain dan pemain semasa seperti Manchester City, Liverpool, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) yang mendoakannya segera pulih.