Ketua jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, menghantar ucap selamat buat bekas pengurus Manchester United, Alex Ferguson, yang baru menjalani pembedahan selepas mengalami pendarahan otak.

Dunia bola sepak bersatu dalam mendoakan yang terbaik selepas gergasi Liga Perdana, United, mengesahkan pengurus ikonik berusia 76 tahun itu kini ditempatkan di unit rawatan rapi selepas menjalani pembedahan kecemasan.

Ferguson dilaporkan jatuh sakit kelmarin dan dimasukkan ke Hospital Daerah Macclesfield sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Salford Royal.

Pengurus legenda berbangsa Scotland itu – yang pernah mengurus St Mirren and Aberdeen – menghabiskan 27 tahun yang sarat dengan trofi di Old Trafford sehingga 2013, dengan antara lain memenangi 13 kejuaraan Liga Perdana dan dua kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah.

Allegri turut mengharapkan yang terbaik buat Ferguson, dengan memberitahu wartawan: “Saya benar-benar bersimpati dan mahu mengucapkan selamat kepadanya. Saya tahu dia punya kekuatan untuk mengatasi ini.”

Allegri berkata demikian selepas juara enam kali Serie A, Juventus, melonjakkan peluangnya muncul juara selepas kemenangan 3-1 ke atas Bologna, awal pagi tadi.

Sami Khedira dan Paulo Dybala menyumbat gol dalam separuh masa kedua sambil Juve menjarakkan tujuh mata dalam perebutan Scudetto daripada pesaing terdekat, Napoli, yang akan berdepan Torino hari ini.

“Kami tidak mempunyai apa-apa rahsia, kami hanya mempunyai keazaman yang tinggi untuk mencapai sasaran kami.

“Pasukan telah menunjukkan bahawa kami mahu berkorban di sebalik musim yang menakjubkan buat Napoli,” tambah Allegri.

"Tapi kami belum lagi menjadi juara. Masih ada tiga mata lagi. Tapi kami kini sudah meraih 91 mata dan ia bermakna kami telah melakukannya dengan baik. Kami mahu melakukan lebih baik lagi dan ia bermakna dengan menjadi juara Itali.

"Kami akan bermain dalam final Coppa Italia yang keempat dan kami telah bermain baik di peringkat Liga Juara-Juara menentang Real Madrid.

“Kini kami mahu menuai hasil daripada kerja keras kami, dengan melakukan banyak pengorbanan dan ikhtiar,” katanya lagi.