Bintang Juventus, Paulo Dybala, tidak mempunyai "karisma" untuk membintangi Manchester United, demikian penilaian mengejutkan legenda The Red Devils, Rio Ferdinand.

Pemain Argentina itu dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford sebagai sebahagian daripada pertukaran dengan Romelu Lukaku sebelum jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris (EPL) ditutup, namun perjanjian itu gagal menjadi kenyataan apabila bekas pemain berbakat Palermo itu dilaporkan memilih untuk kekal di Itali.

Ferdinand -- yang mewakili United di antara 2002 dan 2014 -- percaya adalah lebih baik pengurus, Ole Gunnar Solskjaer, tidak memiliki Dybala dan percaya dia tidak mempunyai sikap yang diperlukan untuk menyarung jersi United.

"Ramai pemain menolak tawaran Manchester United sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya kepada Daily Star. "Mereka memilih untuk ke destinasi lain.

"Begitupun, saya tidak pasti bagaimana Dybala mempunyai keberanian untuk menolak tawaran United sedangkan dia hanya memanaskan bangku simpanan di Juventus. Dia perlu beraksi.

"Mungkin dia fikir: 'saya mahu berada dalam Liga Juara-Juara (UCL) atau sekadar memadai dengan memanaskan bangku simpanan. Saya lebih suka situasi itu daripada bermain di Man Utd.'

"Saya gembira dia tidak jadi ke sini kerana dia tidak mempunyai karisma yang saya mahukan dalam pemain Manchester United.

"Saya mahukan seseorang yang mahu datang dan berfikir, 'Manchester United perlu kembali menjadi sebuah pasukan kelas atasan dan saya mahu menjadi pemangkinnya'. Itulah jenis pemain yang anda patut bawa masuk."

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, hanya menandatangani tiga pemain musim panas lalu dengan membawa masuk Harry Maguire, Aaron Wan-Bissaka dan Daniel James.

Ketiga-tiganya memainkan peranan penting dalam kemenangan 4-0 ke atas Chelsea, semalam, namun Ferdinand yakin bekas rakan sepasukannya itu sedang membina skuad dengan visi yang jelas.

"Ole cenderung menggunakan khidmat pemain muda," katanya. "James dan Wan-Bissaka merupakan dua pemain muda yang memiliki potensi besar.

"Wan-Bissaka sedikit kurang kerana dia bermain dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi James adalah satu projek yang bagus untuk jangka panjang memandangkan dia masih muda, kepantasannya boleh mengujakan orang ramai.

"Jika dia berusaha di padang latihan dan diberi peluang beraksi, saya mengharapkannya akan terus berkembang sebagai pemain.

"Jose Mourinho pula membeli Nemanja Matic, Fred, mereka merupakan pemain yang sudah ada nama.

"Saya berharap Ole akan diberi masa dan dalam masa yang sama, pasukannya telah menunjukkan beberapa petanda awal pada musim ini bahawa mereka menuju ke arah yang betul.

"Peminat United merupakan peminat yang setia dan memahami. Jika mereka melihat idea yang sedang diterapkan menuju ke arah yang betul demi masa depan kelab, mereka akan memberikan sokongan. Apa yang penting, mereka dapat mengenal pastinya dari awal lagi."