Bekas pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand, mencabar pengurus, Jose Mourinho, untuk mendapatkan prestasi terbaik Paul Pogba selepas pemain tengah itu membantu Perancis memenangi Piala Dunia 2018.

Pogba menikmati kempen hebat bersama Perancis yang merakamkan gelaran dunia kedua dengan kemenangan 4-2 ke atas Croatia di Moscow, awal pagi tadi.

Pemain tengah berusia 25 tahun itu yang turut melakar nama sebagai penjaring dalam final, menikmati prestasi turun naiki selama dua tahun di Old Trafford berikutan ketibaannya dari Juventus yang bernilai £89 juta (RM477j).

Sehubungan itu, Ferdinand percaya kini terpulang kepada Mourinho untuk menterjemahkan prestasi antarabangsa Pogba di peringkat kelab pula.

"Pogba begitu memukau, terutama dalam separuh masa kedua, cemerlang dalam situasi tertekan," katanya kepada BBC One.

"Terpulang kepada Jose untuk membuka kunci Pogba seperti yang kita saksikan dalam Piala Dunia."

Pogba mendapati dirinya tidak disenangi oleh Mourinho musim lalu, sekali gus mencetuskan spekulasi kemungkinan angkat kaki dari Old Trafford.

Pemain Perancis berkenaan menyumbat enam gol ketika United menduduki tempat kedua dalam Liga Perdana Inggeris musim lalu.