Pengarah Sukan AC Milan, Massimiliano Mirabelli, mendakwa Marouane Fellaini tidak akan menandatangani semula kontrak dengan Manchester United kerana dia mahu berhijrah sebagai ejen bebas.

Kontrak Fellaini di Old Trafford akan tamat bulan depan walaupun pengurus United, Jose Mourinho, tetap yakin bahawa pemain antarabangsa Belgium itu akan kekal berada di Manchester.

Bagaimanapun, pemain berusia 30 tahun itu mungkin sedia ke Itali selepas Mirabelli membayangkan tentang perpindahan itu dan memberi pujian melambung terhadap pemain tengah berkenaan.

"Fellaini boleh menjadi pemain penting" kata Mirabelli kepada Sky Sport Italia selepas AC Milan melakar kemenangan 5-1 ke atas Fiorentina dalam perlawanan terakhir musim Serie A, awal pagi tadi.

"Kami tahu dia tidak akan memperbaharui kontrak bersama United tetapi sukar untuk mengatakan bahawa kami sudah membuat perjanjian.

"Dia mempunyai ciri-ciri penting. Kami akan melakukan sesuatu dalam peranannya tetapi kami meletakkan segala-galanya dalam simpanan.

"Pertama, kami perlu memastikan kemasukan pemain baru kami, kemudian mengumumkannya."

Fellaini membuat 16 penampilan -- 11 dari bangku simpanan -- apabila United menduduki tempat kedua dalam Liga Perdana Inggeris musim ini.