Nabil Fekir tidak memahami mengapa perpindahannya ke Liverpool tidak berjaya dimeterai dan pemain itu sudah merancang untuk kekal lama bersama Lyon.

Pemenang Piala Dunia dan pemain kebangsaan Perancis itu hampir untuk menyertai Liverpool sebelum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tidak menyempurnakan perpindahan tersebut.

Fekir tidak pasti mengapa dia masih lagi kekal bersama Lyon dan persoalan itu tidak lagi membelenggunya selepas mempamerkan aksi cemerlang membantu pasukan meraih kemenangan 2-0 ke atas Strasbourg dalam aksi Ligue 1, semalam.

"Masa depan saya? Saya pemain Lyon dan akan kekal di sini. Untuk kontrak lanjutan, mengapa tidak? Saya bersedia untuk kekal bersama pasukan untuk jangka panjang," kata Fekir.

"Terdapt insiden yang berlaku ketika musim panas lalu tetapi ia telah berlalu dan saya gembira masih bersama Lyon.

"Saya telah mendengar beberapa perkara mengapa Liverpool tidak bersetuju untuk mendapatkan khidmat saya. Tetapi perkara yang sebenar hanya diketahui oleh Liverpool."