Kelab Liga Super Turki, Galatasaray, mengumumkan kemasukan pemain baru, Sofiane Feghouli, yang berhijrah dari West Ham United menerusi yuran perpindahan berjumlah EUR4.25 juta (RM21 juta).

Pemain berusia 27 tahun itu berhijrah ke Turki setahun selepas menyertai Hammers dari Valencia melalui kontrak selama tiga tahun.

Feghouli berpindah ke Turk Telekom menerusi kontrak lima tahun dan menjadi pemain ketujuh yang menyertai juara 20 kali Liga Super itu pada musim panas ini.

“Terima kasih kepada Feghouli atas segala usahanya selama ini dan kami mengucapkan selamat maju jaya di masa akan datang,” kata kenyataan daripada laman web rasmi West Ham.

Penghijrahan Feghouli itu menguatkan spekulasi bahawa Hammers bakal mendapatkan pemain tengah Portugal, William Carvalho, yang bernilai GBP30 juta (RM166 juta).

Pemain tengah berusia 25 tahun itu disisihkan daripada skuad Sporting Lisbon bagi menghadapi saingan play-off Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang FC Steaua Bucharest.