Kita telahpun melepasi titik pertengahan musim English Premier League 2016/2017. Persaingan sangat hangat di puncak liga, dengan enam pasukan berjuang untuk mendapat empat tempat teratas. Chelsea masih lagi mendahului, 5 mata lebih dari Liverpool, manakala Manchester United pula telah bangkit juga akhirnya.

Sementara itu, Malaysia sekali lagi memaparkan aksi cermerlang dalam permainan Fantasy Premier League. Di tempat ke 2 di dunia sekarang ini merupakan pasukan dari Malaysia, iaitu The Champs, yang diurus oleh saudara Putera Fiez, berbekalkan markah cemerlang sebanyak 103 mata untuk minggu ke 20, yang membolehkannya memecut ke atas.

Putera Fiez

Yang menarik tentang markahnya untuk minggu ke 20 ialah kehadiran Jermain Defoe (yang menentang Liverpool) berada di bangku dengan 13 mata, Adakah dia peminat Liverpool? Walaupun dia tidak menyertai kumpulan am Liverpool, kemungkinan ini agak besar kalau diambil kira yang Defoe bukan sahaja di bangku The Champs, malahan di bangku yang terakhir!

Diharapkan Putera Fiez terus cemerlang dan terus di ranking teratas. Dia agak jauh dari No 1, dengan jurang sebanyak 48 mata, tetapi musim masih panjang. Masih lagi 5 bulan sebelum tamat musim. 48 mata sebenarnya kecil kalau diikutkan.

Pasukan Malaysia di belakangnya yang paling hamper berada di tangga ke 20 dunia, Melvyn Shane, yang sebelum ini merupakan pasukan teratas di Malaysia sebelum ditundukkan markah cemerlang Putera Fiez.

Berikut disenaraikan pasukan lima teratas di Malaysia:

Top 5 Malaysia

Untuk liga Bual Bola Astro Awani pula, di hadapan ialah KuNNaKz FC, yang diurus Ali Ahmad. Perbezaan dengan tempat kedua hanya 13 mata, jadi posisi sangat mudah berubah dalam liga ini.

Top 5 Bual Bola half season

Seterusnya, saya ingin menyenaraikan muka baru yang paling menyerlah dari segi mata fantasi. Mereka adalah seperti berikut:

1. Zlatan Ibrahimovic 123
2. Marcus Alonso 83
3. Tom Heaton 80
4. Paul Pogba 79
5. Ben Gibson 71

Ibrahimovic sebenarnya sudah dijangka ramai akan menyumbang dengan mewah, dan jumlah matanya adalah sejajar dengan harganya yang agak mahal. Alonso, yang lambat bermain pada mulanya, telah mengutip mata dengan pantas, selaras dengan benteng Chelsea yang cemerlang dalam tiga bulan terakhir 2016.

Heaton pula telah banyak menyumbang mata ‘save’ dan mata bonus dan adalah penjaga gol markah tertinggi, dan dia merupakan satu punca utama Burnley berada di tangga 11 ketika ini. Harganya yang murah (kini 4.9) juga membantu pembeli. Sebenarnya, saya agak kecewa dengan hasil Pogba, kerana saya menjangka pada awal musim yang beliau akan menyumbang lebih banyak mata dari realitinya, tetapi sememangnya posisi yang beliau bermain ketika ini mungkin menjadi sebab.

Akhirnya, Gibson adalah sebahagian dari benteng pertahanan Middlesbrough yang agak kuat. Penekanan Middlesbrough pada pertahanan sedikit sebanyak boleh disokong dengan statistic: Mereka adalah pasukan yang paling kurang menjaringkan gol (bersama Hull) dengan hanya 17 goal. Pada masa yang sama, mereka hanya bolos sebanyak 22 gol, sama dengan Manchester City dan Arsenal (dan kurang dari Liverpool contohnya!).

Oh ya, saya agak pasti yang Henrik Mkhitaryan akan menembusi ranking 5 teratas ini apabila akhir musim nanti. Prestasi yang ditunjukkannya ketika ini bakal menyaksikan letupan pada separuh musim kedua ini.

Akhir kata, ‘transfer window’ telahpun dibuka ketika ini. Mungkinkah ada muka baru pada bulan Januari yang akan muncul? Kita tunggu dan lihat!