Bekas pemain pertahanan Valencia dan Argentina, Roberto Ayala, percaya falsafah bola sepak Pep Guardiola yang menjadi ikutan telah terbukti merosakkan bola sepak.

Ayala, yang menjulang dua kejuaraan LaLiga ketika bersama Valencia, dianggap antara pemain terbaik di posisi itu di Sepanyol, pernah berdepan Barcelona di bawah kendalian Guardiola ketika dia menyarung jersi Real Zaragoza.

Pemain pertahanan tengah yang memiliki 115 penampilan bersama Argentina itu mengakui dia tidak pernah berdepan pasukan sehebat itu sambil berasakan pengurus Manchester City itu telah menggalakkan pemain pertahanan moden agar meninggalkan apa yang sepatutnya menjadi fokus utama mereka.

"Barcelona yang dibimbing Guardiola adalah pasukan terbaik yang pernah saya saksikan sepanjang hidup saya tapi kerana itu juga mereka telah membuat kerosakan," katanya kepada La Nacion.

"Sekarang, kebanyakan pemain pertahanan mahu beraksi bagaikan mereka di Barcelona. Tidak, mereka tidak boleh melakukannya.

"Pemain pertahanan tengah? Utamakan bertahan dulu, berikan saya keselamatan. Bek kanan atau kiri? jangan lupa, anda adalah pemain pertahanan."

Ayala dinamakan dalam Kesebelasan Pilihan Piala Dunia 2006 -- yang menyaksikan Lionel Messi muncul pemain termuda Argentina untuk kejohanan itu pada usia 18 tahun 357 hari.

Messi muncul sebagai penjaring terbanyak buat negaranya, malangnya dihujani kritikan di atas kegagalan Argentina dalam memenangi trofi utama antarabangsa apabila tiga kali dikecewakan dalam final Copa America dan Piala Dunia 2014.

Ayala percaya pemain bintang Barca itu terdedah kepada tumpuan yang diberikan serta menegaskan peminat-peminat seharusnya menikmati permainannya bersama pasukan itu selama yang mungkin.

"Saya membayangka, segala kritikan itu melukainya," katanya.

"Apatah lagi bagi seorang pemain yang semakin berkembang saban tahun dan masih gagal memenangi sesuatu bersama skuad kebangsaan.

"Namun, dia sentiasa mahu bersama (Argentina). Masalahnya, kita berbelah bahagi: hari ini, kita mempunyai Leo dan kita tidak tahu apakah akan ada pemain serupa akan dilahirkan lagi. Mungkin tidak lagi -- maka, nikmatilah.

"Jika dia tampil dengan permainan buruk, dia akan dikritik tapi kita semua akan melalui hari buruk.

"Dia memiliki karektor dan caranya sendiri, kita tidak perlu meminta dia menjadi Diego (Maradona). Dia bukan Diego -- dia adalah dirinya sendiri."