Penyerang Colombia, Radamel Falcao, hanya mahu melihat rakan senegaranya, James Rodriguez, membuat keputusan yang akan menggembirakannya susulan dikaitkan dengan perpindahan.

Pemain berusia 25 tahun itu dijangka bakal meninggalkan Real Madrid, dengan Manchester United, Chelsea dan AC Milan dikhabarkan bakal menjadi destinasi terbaru.

Menjelang Piala Dunia 2018 di Russia, Falcao menggesa rakan sepasukannya, termasuk James, memberi fokus terhadap kebahagiaan masing-masing, terutama dalam menentukan destinasi mereka.

"Demi pasukan ini, saya berharap sesiapapun yang perlu membuat keputusan mengenai masa depan mereka, buatlah keputusan yang akan menggembirakan mereka," katanya menerusi Sport.

Colombia masih ada tugas yang belum selesai seandainya mahu mara ke Russia.

Walaupun skuad kendalian Jose Pekerman itu menduduki tempat kedua dalam kelayakan Piala Dunia Amerika Selatan, mereka hanya dipisahkan empat mata dengan Ecuador yang menghuni tangga keenam.

"Beraksi dalam Piala Dunia adalah impian saya," tambah Falcao.

"Jika tuhan mengizinkan saya beraksi di sana, hari itu akan tiba."