ARSENAL 4 TOTTENHAM HOTSPUR 2

Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, menganggap pasukannya terpaksa membayar harga mahal disebabkan minggu sibuk yang diharungi selepas tewas 2-4 kepada Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris, malam tadi.


Spurs ketinggalan 0-1 selepas Pierre Emerick-Aubameyang menjaringkan sepakan penalti pada minit ke-10, namun bangkit mengejar kedudukan menerusi Eric Dier dan Harry Kane dalam babak pertama di Stadium Emirates.

Bagaimanapun, jaringan sensasi Aubameyang pada minit ke-56 menyaksikan Arsenal menterbalikkan situasi itu dengan Alexandre Lacazette dan Lucas Torreira melengkapkan kebangkitan tersebut.

Kad merah yang dilayangkan kepada Jan Vertonghen di lewat permainan memusnahkan impian Spurs untuk bangkit buat kali kedua.

Kekalahan itu tiba dalam tempoh sembilan hari selepas Spurs menewaskan Chelsea 3-1 di Wembley dan menewaskan Inter Milan 1-0 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Arsenal pula dapat melakukan penggiliran pemain sejak menewaskan Vorskla, Jumaat lalu, ekoran telah terlebih dahulu memastikan tempat ke pusingan kalah mati Liga Europa.

Pochettino percaya faktor itu menjadi punca kepada perbezaan persiapan yang dihadapi kedua-dua pasukan menjelang perlawanan itu.

"Kami melalui tempoh sukar selepas melalui dua perlawanan besar dan berdepan satu lagi perlawanan yang lebih besar.

"Pihak lawan beraksi lebih baik kerana mereka mempunyai waktu rehat yang cukup sebelum berdepan kami," katanya kepada beIN SPORTS.

Dia menambah kepada Sky Sports: "Ia satu perlawanan yang sukar. Ia benar-benar menguji kami selepas berdepan Chelsea dan Inter sebelum ini.

"Pihak lawan kelihatan segar kerana mereka dapat merehatkan tujuh hingga lapan pemain dalam perlawanan Jumaat lalu.

"Ia bukan sekadar alasan memandangkan apabila ketinggalan, kami memerlukan tenaga yang lebih banyak untuk bangkit," tambahnya.