Pemain tengah Chelsea, Cesc Fabregas, percaya dia telah membuktikan bahawa dia sudah menemui semula sentuhan terbaiknya ekoran meledak gol tunggal perlawanan dalam kemenangan 1-0 ke atas Sunderland.

Fabregas sering kali dikaitkan dengan perpindahan dalam tempoh beberapa bulan ini tatkala pengendali, Antonio Conte, lebih gemar menggunakan khidmat Nemanja Matic dan N'Golo Kante di bahagian tengah.

Bagaimanapun, pemain antarabangsa Sepanyol itu telah diberi kepercayaan untuk beraksi di Stadium of Light dan berjaya melakar jaringan pada minit ke-40, sekaligus mengesahkan kemenangan ke-10 berturut-turut Chelesea dalam Liga Perdana Inggeris.

Fabregas berasakan bahawa aksinya kebelakangan ini telah menutup mulut pengkritik dan kini berharap akan dinamakan dalam kesebelasan utama The Blues.

"Dalam dunia bola sepak hari ini, cukup mudah untuk mereka lupa siapa kamu yang sebenar dan apa yang kamu mampu lakukan. Saya berharap selepas ini saya akan kerap beraksi," katanya.

"Mereka lupa bahawa ini hanyalah kali kedua saya bermain dengan sistem 3-4-3. Saya semakin membiasakan diri.

"Kami mahu terus melakar kemenangan, bulan Disember ini sangat penting."

Walaupun Fabregas puas hati dengan kemenangan tersebut, dia mahu Chelsea mempamerkan ketajaman di hadapan gawang susulan Willian, Victor Moses dan Diego Costa gagal membuat penyudah kemas.

"Kami perlu melunaskan peluang yang ada kerana kami mendapat banyak peluang," tambahnya.

"Kami bermain dengan cukup baik pada babak pertama tetapi pada babak kedua pihak lawan mula memberi tentangan."