Cesc Fabregas, yang kekal komited dengan masa depannya bersama Chelsea, menegaskan dia 100 peratus akan kekal di Stamford Bridge musim depan.

Fabregas tidak lagi membarisi kesebelasan utama pasukan musim ini di samping gagal menambat hati pengendali, Antonio Conte.

Pemain berusia 29 tahun itu telah dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Super China dan MLS selepas hanya lima kali beraksi selaku kesebelasan utama musim ini.

Bagaimanapun, Fabregas tidak merancang untuk meninggalkan pendahulu Liga Perdana Inggeris itu.

"100 peratus pasti. Saya tidak berfikir tentang perkara lain selain daripada mencabar diri saya.

"Apa yang berlaku enam bulan lalu berbanding sekarang cukup berbeza," Fabregas memberitahu Sky Sports apabila ditanya sama ada dia akan berada di Chelsea bagi musim 2017-18.

"Dari awal lagi, saya sedar cabaran getir menanti dan khabar angin seperti ini sentiasa berlaku. Saya tidak peduli dengan buah mulut orang tetapi saya tidak pernah terlintas untuk berhijrah.

"Saya tahu sama ada saya lebih baik daripada pemain lain atau tidak. Saya juga tahu apa sumbangan saya terhadap pasukan ini.

"Saya sering kali memperbaiki permainan saya apabila peluang itu tiba dan saya tidak akan berhenti selagi saya tidak dapat beraksi dalam setiap perlawanan yang saya mahukan."