Pemain tengah Liverpool, Fabinho, menggunakan pengalamannya memenangi Ligue 1 bersama AS Monaco dengan menegaskan bahawa menikmati bola sepak adalah sangat penting ketika dalam perlumbaan memburu gelaran.

Fabinho merupakan sebahagian daripada anggota skuad Monaco yang menarik perhatian ramai apabila memenangi Ligue 1 dan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) pada 2017.

Pasukan kendalian Leonardo Jardim itu disanjung kerana mengamalkan corak serangan dengan keamatan tinggi serta sarat dengan bakat muda seperti Bernardo Silva, Tiemoue Bakayoko, Benjamin Mendy, Kylian Mbappe, Thomas Lemar dan Fabinho.

Pada musim itu, Monaco menjaringkan 107 gol yang luar biasa -- 24 gol lebih banyak daripada pasukan di tangga kedua, Paris Saint-Germain (PSG) -- untuk mengungguli Ligue 1 kerana mereka menikmati gaya permainan yang diterapkan.

Sehubungan itu, Fabinho percaya Liverpool memerlukan sikap yang sama jika mereka mahu mengatasi Manchester City dalam misi meraih gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

"Saya tahu sangat sukar untuk memenangi liga, terutama Liga Perdana. Bagaimanapun, kami memiliki pemain berpengalaman di Liverpool," kata pemain Brazil itu kepada laman sesawang rasmi Liverpool di kem latihan di Marbella, Sepanyol, semalam.

"Kami tahu kami sedang bersaing di puncak liga dan adalah penting untuk berada di kedudukan ini. Tetapi kami tidak boleh memikirkan tentang trofi dalam setiap perlawanan kerana ia boleh menambah tekanan kepada kami.

"Saya pernah mengharungi musim yang baik dengan Monaco. Kami menyumbat banyak gol dan kami gembira untuk bermain bola sepak -- dan kami perlu melakukannya di sini juga. Kami perlu menikmati permainan selain turun beraksi dengan kebahagiaan dan memberi tumpuan kepada satu persatu perlawanan."

Seorang lagi pemain yang mempamerkan prestasi mengagumkan musim ini adalah pertahanan kanan, Trent Alexander-Arnold, yang sebelum ini dilanda masalah lutut ketika menentang Brighton & Hove Albion bulan lalu dan kembali menjalani latihan bersama skuad utama.

Ia sesuatu yang janggal dan sukar buat pemain berusia 20 tahun itu, namun dia yakin dia akan kembali ke dalam kesebelasan utama tidak lama lagi setelah muncul sebagai pemain gantian dalam kemenangan 3-0 ke atas Bournemouth, Sabtu lalu.

"Ia adalah kecederaan yang tidak pernah saya alami," katanya. "Ia adalah sesuatu yang baru dan sesuatu yang mengetepikan saya, jadi ia situasi yang sukar bagi saya.

"Terima kasih kepada pengurus, pakar fisioterapi dan jabatan perubatan dalam membantu saya kembali lebih awal.

"Saya dalam keadaan baik. Bagus untuk mendapatkan sedikit kecergasan pada hujung minggu lalu dan ia akan membantu saya untuk mengembalikan kecergasan terbaik dan saya berharap dapat kembali memulakan perlawanan dalam tempoh beberapa minggu akan datang."