Persatuan Bolasepak England (FA) sedang berusaha mendapatkan maklumat daripada kedua-kedua kelab Manchester berikutan tercetusnya insiden pergaduhan selepas perlawanan ‘derby’ di Old Trafford, kelmarin.

Pegawai dan pemain kedua-dua pasukan dilaporkan terbabit dalam pergaduhan besar di dalam terowong dan bilik persalinan pemain selepas perlawanan tetapi pengadil, Michael Oliver, yang tidak menyaksikan kejadian itu, tidak mengemukakan sebarang laporan.

Manchester City menundukkan musuh setempat mereka, United, 2-1 hasil jaringan David Silva dan Nicolas Otamendi di antara gol penyamaan Marcus Rashford, dan melebarkan jurang The Citizens di tangga teratas kepada 11 mata.

Kemenangan itu juga bermakna skuad kendalian Pep Guardiola itu tampil selaku pasukan pertama untuk memenangi 14 perlawanan liga berturut-turut dalam semusim.

Dalam perkembangan terbaru, akhbar Daily Express melaporkan kedua-dua City dan United menyalahkan satu sama lain sehingga tercetusnya pergaduhan selepas perlawanan itu.

Sumber-sumber City mendakwa insiden itu tidak akan berlaku jika bukan kerana pengurus United, Jose Mourinho, menyibuk memasuki bilik persalinan City sambil menuntut mereka memperlahankan bunyi muzik dan sorakan bingit daripada kegembiraan mereka.

Sebaliknya, sumber-sumber United pula mendakwa sambutan kemenangan City adalah keterlaluan di samping tidak menunjukkan rasa hormat kepada pasukan tuan rumah – sesuatu yang tidak pernah ditunjukkan mana-mana pasukan pelawat di Old Trafford sebelumnya.

FA telah menulis kepada kedua-dua pasukan untuk memberikan maklum balas segera.

Sehingga 20 pemain dan staf kejurulatihan kedua-dua pasukan dikatakan terbabit dalam insiden pergaduhan itu susulan Mourinho dilaporkan bertegang leher dengan penjaga gol City dari Brazil, Ederson, dalam bahasa Portugis.

Botol air dan susu dikatakan dilontar terhadap Mourinho manakala jurulatih City, Mikel Arteta, mengalami luka di atas keningnya.

Kedua-dua pasukan, bagaimanapun, menafikan kejadian tumbuk-menumbuk berlaku.