Jose Mourinho percaya kemenangan 4-0 Manchester United ke atas Everton memberikan kesan terhadap anak buah Ronald Koeman apabila pasukan tuan rumah meledak tiga gol dalam tempoh tujuh minit, malam tadi.

Gol minit keempat Antonio Valencia menyuntik permulaan baik buat Unite, tetapi mereka memakan masa lama untuk mengesahkan kemenangan besar ke atas Everton.

Pasukan pelawat mempamerkan aksi mantap sepanjang perlawanan, terutama dalam babak kedua, tetapi percubaan Everton sering diselamatkan penjaga gol, David de Gea.

United bangkit pada lewat permainan, dengan Henrikh Mkhitaryan, Romelu Lukaku dan sepakan penalti Anthony Martial terus menghukum Everton.

Mourinho berasakan persembahan anak buahnya dalam babak pertama merupakan yang terbaik musim ini tetapi mengakui empat gol itu memberi kesan agak berat buat Everton.

Dia memberitahu Sky Sports: "Persembahan amat baik, terutama dalam tempoh 30-35 minit pertama. Ia mungkin aksi terbaik kami musim ini.

"Kami memberi tekanan dan tidak memberikan ruang kepada mereka. Mereka gagal merakamkan percubaan ke gawang kami. Selepas itu, pemain berkualiti Everton mula mempamerkan kualiti mereka.

"Mereka memberi saingan sengit tetapi saya lihat di bangku simpanan dan saya nampak beberapa pilihan lain untuk mengubah perlawanan.

"Liga Perdana Inggeris kini cukup gemar menurunkan lima pemain pertahanan, jadi cara terbaik untuk menangani senario itu adalah dengan menerapkan taktikal sama.

"Apabila kamu enggan menyamai sistem pasukan lawan, tindakan itu mampu memakan diri. Jadi, saya juga membariskan tiga pemain penyerang, termasuk Mkhitaryan.

"Ketika gol kedua dijaringkan, saya tahu perlawanan menjadi milik kami.

"Tetapi keputusan perlawanan bagi saya tidak adil buat Everton. Mereka tidak layak tewas dengan jurang gol yang banyak."

Ini merupakan kemenangan pertama Mourinho ke atas Koeman dalam enam pertembungan dan secara tidak langsung akan memberi tekanan ke atas pengendali Belanda itu tatkala Everton kini merekodkan enam perlawanan tanpa sebarang kemenangan.

Tetapi Mourinho yakin Koeman dan Everton akan kembali bangkit.

"Mereka cuma sedang bergelut. Ini disebabkan jadual perlawanan mereka yang agak ketat. Jika saya berada di tempat sama, saya juga akan merasai senario sama.

"Saya tidak kisah jika berdepan satu daripada lima pasukan atasan di awal musim tetapi dijadualkan berdepan kesemua lima pasukan? Ini tidak adil buat mereka."