Everton sahkan Gomes terkehel, retak buku lali

By Staff Writer 4 November 2019 1754
Everton sahkan Gomes terkehel, retak buku lali
Everton mengesahkan Andre Gomes mengalami keretakan pada buku lali kanannya yang terkehel ketika terikat 1-1 dengan Tottenham Hotspur di Goodison Park awal pagi tadi dan akan menjalani pembedahan secepat mungkin.

Gomes diusung keluar padang selepas dikasari Son Heung-min sebelum berlanggar dengan Serge Aurier.

Penyerang Spurs, Heung-min, yang diarahkan keluar padang oleh pengadil, Martin Atkinson, kelihatan bingung dan terkilan sebelum dipujuk ke terowong pemain manakala pemain kedua-dua pasukan itu turut terkesan dengan insiden berkenaan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Everton berkata: "Everton boleh mengesahkan bahawa Andre Gomes akan menjalani pembedahan Isnin ini (awal pagi esok) selepas mengalami kecederaan buku lali ketika perlawanan menentang Tottenham.

"Pemain kebangsaan Portugal itu telah diusung keluar padang dalam babak kedua dan terus dikejarkan dengan ambulans ke Hospital Aintree dan ditemani beberapa ahli pasukan perubatan Everton.

"Selepas menjalani pemeriksaan, adalah disahkan bahawa dia mengalami keretakan di buku lali kanan yang terkehel." 

About Author

Staff Writer

Comment