Stoke City menandatangani pemain Wales, Ashley Williams, secara pinjaman semusim daripada Everton.

Williams, 33, menyertai Everton daripada Swansea City dengan yuran sebanyak £12 juta (RM63.7j) pada 2016 setelah membantu Wales mencapai peringkat separuh akhir Euro 2016.

Pertahanan tengah itu yang dikhabarkan menjadi sasaran jangka panjang Arsenal ketika bersama Swans akan ditugaskan untuk membantu Stoke kembali ke saingan teratas setelah tergelincir daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.

Kehadiran Williams menyusul selepas Stoke melengkapkan perpindahan tetap Oghenekaro Etebo, Tom Ince, Adam Federici dan James McClean, sementara Benik Afobe juga berpindah ke Stoke secara pinjaman daripada Wolverhampton Wanderers.

"Kami mempunyai dua pemain pertahanan tengah yang hebat menerusi gandingan Ryan Shawcross dan Bruno Martins Indi. Begitupun, saya berasakan adalah penting untuk membawa calon lain yang berpengalaman bagi menyuntik persaingan merebut tempat," kata pengurus Stoke, Gary Rowett, dalam satu kenyataan.

"Perpindahannya pernah melibatkan nilai yang tinggi selain turut mempunyai kerjaya yang hebat. Pengalamannya di posisi itu boleh menjadi kunci kerana ia mampu membantu anda membaca permainan."

Williams membuat 60 penampilan selama dua tahun di Goodison Park selepas melalui kerjaya hebat selama lapan tahun di Swansea.