Everton terpaksa meneruskan aksi tahun 2017 tanpa khidmat pemain sayap, Yannick Bolasie, jelas pengendali, Ronald Koeman.

Pemain antarabangsa Republik Congo itu dijangka akan terlepas baki aksi musim ini selepas mengalami kecederaan ligamen (ACL) ketika seri 1-1 dengan Manchester United, awal bulan lalu.

Pemain berusia 27 tahun itu menjalani pembedahan susulan kecederaan tersebut dan Koeman menjelaskan pemain itu terpaksa diketepikan di antara 10 dan 12 bulan.

Bercakap ketika mesyuarat agung Everton di Dewan Filharmonik Liverpool pada Rabu, pengendali itu berkata: "Dia masih kekal optimis. Kecederaan itu akan memakan masa 10 hingga 12 bulan.

"Dia akan kembali, Bolasie memiliki mentaliti yang kuat."

Bolasie telah memberikan aksi mantap di Goodison Park musim ini selepas berhijrah dari Crystal Palace, Ogos lalu, dengan yuran perpindahan mencecah GBP27 juta (RM149 juta).

Pemain itu meledak gol pertamanya berdepan Burnley, Oktober lalu, dan telah pun membuat empat bantuan jaringan selepas 13 penampilan dalam Liga Perdana Inggeris.