Pengarah Everton, Marcel Brands, mendedahkan bahawa dia khuatir terlepas khidmat Yerry Mina selepas pertahanan itu menjaringkan gol Colombia ke atas England dalam Piala Dunia Russia.

Brands menyaksikan kemenangan England menerusi penentuan penalti ke atas wakil Amerika Selatan itu di samping Pengarah Everton, Farhad Moshiri dan Bill Kenwright, serta pengurus, Marco Silva, dengan berkata jaringan penyamaan pemain itu pada masa kecederaan mungkin boleh menjejaskan kesepakatan untuk membawa Mina ke Goodison Park.

Mina akhirnya menyertai Toffees dengan bayaran awal berjumlah €30.25 juta (RM141j) selain yuran tambahan sebanyak €1.5 (RM6.9j) lagi bagi menamatkan penderitaannya selama enam bulan di Barcelona.

Begitupun, Brands mendedahkan bahawa dia pada mulanya ingin menandatangani Clement Lenglet yang memilih ke Camp Nou daripada Sevilla.

Brands memberitahu Liverpool Echo: "Sejak awal lagi, Mina ada di dalam senarai kami, begitu juga dengan Lenglet yang memilih untuk menyertai Barcelona pada awal pasaran. Jadi, ia memudahkan kami untuk memilih Mina.

"Saya menonton pertemuan England dengan Colombia di rumah Farhad dengan ditemani pengerusi dan Marco, lalu saya berkata: 'J******, dia menjaringkan gol.'

"Gol itu menjadi usaha memancingnya lebih sukar bagi kami dan oleh kerana ia menentang England, lalu menjadikannya dua kali ganda lebih sukar.

"Anda melalui perkara-perkara seperti itu di pasaran.

"Barcelona menjangkakan tawaran lebih besar ke atas Mina pada hari-hari terakhir jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris (EPL), itulah sebabnya mereka menunggu.

"Ia seperti memperjudikan nasib. Kami mungkin boleh mendapatkan Mina lebih awal tetapi terpaksa menambah £5j (RM26j) lagi dan saya tidak mahu menghabiskan lebih banyak wang, jadi kami mengambil sedikit risiko dan itu menjadikan situasinya sedikit rumit dan sukar."

Sementara itu, Everton membenarkan pemain berusia 20 tahun, Nikola Vlasic, untuk menyertai CSKA Moscow dalam kancah Russia menerusi pinjaman sepanjang musim.

Pemain antarabangsa Croatia itu tampil dalam tujuh perlawanan liga musim lalu sejak tiba dari Hadjuk Split pada Ogos 2017.