Ketua jurulatih Shanghai SIPG, Sven-Goran Eriksson, menolak laporan yang mengaitkannya akan memancing ketua pasukan Manchester United, Wayne Rooney, ke Liga Super China.

Ronney bukan lagi pemain pilihan utama di Old Trafford selepas kapten England itu gagal mendapat tempat dalam barisan kendalian Jose Mourinho.

Secara tidak langsung, Rooney dikaitkan dengan kelab asalnya, Everton, sementara Amerika Syarikat dan China turut menjadi destinasi pilihan kepada pemain berusia 31 tahun itu.

Bagaimanapun, Eriksson -- yang pernah bekerjasama dengan Rooney ketika membimbing pasukan England -- tidak bercadang untuk membawa penjaring terbanyak England itu ke China.

"Semua orang tahu betapa saya mengagumi Rooney," kata Eriksson kepada The Sun.

"Untuk mengikat perjanjian dengannya adalah hal yang berlainan. Perkara itu langsung tidak wujud.

"Kami di kelab tidak pernah membincangkannya -- dan kami banyak membincangkan pilihan-pilihan kami untuk musim depan."

"Saya sentiasa menganggap Rooney sebagai penggempur -- salah seorang yang terbaik pernah saya bimbing," tambah Eriksson.

"Tapi kami sudahpun memiliki Hulk, Elkeson dan Dario Conca, yang beraksi dengan begitu baik sebagai penyerang kami.

"Dia (Rooney) masih merupakan pemain yang sangat hebat dengan kualiti tinggi. Saya pasti dia akan ke China pada masa akan datang. Dia adalah pemain yang menjadi buruan di sini."