Christian Eriksen berharap agar aksi menakjubkan yang dipamerkan ketika ini masih belum mencapai tahap terbaik dalam kariernya selepas membantu Tottenham Hotspur menundukkan Swansea City 3-0, semalam.

Kemenangan di Stadium Liberty itu membolehkan Spurs layak ke separuh akhir Piala FA, yang menyaksikan Eriksen menyumbat dua gol sementara satu lagi jaringan dihasilkan oleh Erik Lamela.

Bagaimanapun, Eriksen jelas belum berpuas hati dengan permainan yang dipersembahkan kerana menganggap segalanya akan memberi makna sebenar sekiranya dapat menyumbangkan trofi dan menempatkan Spurs dalam kelompok empat pasukan terbaik liga.

“Saya berada pada prestasi yang bagus tetapi tidak pasti sama ada yang terbaik atau tidak.

“Diharapkan, masih banyak lagi yang perlu saya usahakan tetapi saya gembira di mana saya berada sekarang. Spurs juga berada di landasan terbaik,” kata Eriksen.

Kejayaan malam semalam juga bermakna Spurs akan tampil dalam separuh akhir yang akan berlangsung di Wembley, gelanggang di mana mereka gunakan apabila beraksi sebagai tuan rumah, membuatkan Eriksen berasa janggal untuk beraksi di situ tanpa dipenuhi oleh penyokong sendiri.

“Sudah tentu apabila separuh akhir menjelang, ia menjanjikan keseronokan untuk beraksi di Wembley dalam suasana berbeza.

“Pastinya ia menjadi pelik kerana ia merupakan gelanggang kami tetapi bukan hanya penyokong Spurs yang akan berada di situ. Ia tentu menarik,” ujarnya.