Philippe Coutinho berkata dia gembira di Barcelona di samping menegaskan kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak sesuai dengan perancangan masa depannya.

Coutinho telah dikaitkan dengan perpindahan meninggalkan Barca selepas bergelut untuk berada dalam kesebelasan utama sejak berhijrah dari Liverpool, Januari tahun lalu.

Manchester United dan Chelsea dilaporkan antara kelab yang berminat tetapi Coutinho tidak merancang untuk kembali ke England.

"Tumpuan saya hanya terarah kepada Barcelona. Kembali ke England tidak bersesuaian dengan perancangan saya," kata Coutinho.

"Ini musim kedua saya di sini. Saya telah memenangi gelaran tetapi saya sentiasa meletakkan sasaran yang tinggi. Jadi, saya mahu lebih lagi.

"Saya mahu kekal beraksi di Sepanyol dan saya bersama kelab terbaik di Sepanyol."

Coutinho meledak lima gol untuk pendahulu LaLiga itu musim ini dan 10 untuk semua kejohanan di bawah pimpinan Ernesto Valverde.