BELANDA 0 ENGLAND 1

Gareth Southgate memuji skuad England kerana mengharungi "ujian baik" dengan Belanda yang kini dibimbing Ronald Koeman sambil menegaskan masih terdapat banyak ruang untuk diperbaiki.


Jesse Lingard meledak gol tunggal perlawanan di Amsterdam awal pagi tadi menerusi percubaan pertama pemain Manchester United berkenaan pada minit ke-59.

England selesa mempertahankan keunggulan mereka sehingga tiupan wisel terakhir untuk merakamkan kemenangan pertama ke atas lawan itu mereka sejak kemenangan 4-1 dalam Kejohanan Euro 1996.

"Saya fikir ini adalah ujian yang baik untuk kami," kata pengurus England, Southgate, kepada ITV Sport.

"Kami bertandang ke sini dan mengawal permainan. Kami menggunakan bola dengan baik, terutama pada 60-65 minit pertama.

"Mungkin sedikit kualiti di peringkat akhir diperlukan tetapi secara keseluruhannya, saya gembira dengan cara kami bermain sehingga detik gol itu, pertahanan kami kelihatan sangat kental," katanya.

Belanda, yang turun dengan misi untuk menamatkan kemarau kemenangan dalam lima perlawanan, bagaimanapun, gagal menggugat penjaga gawang, Jordan Pickford, dalam sentuhan pertama Koeman yang kembali melatih skuad Oranje.

Meskipun kehilangan Joe Gomez ekoran kecederaan buku lali lalu digantikan Harry Maguire pada minit ke-10, percaturan itu tidak mengganggu tiga pertahanan yang diterapkan, termasuk Kyle Walker yang memainkan peranan sebagai pertahanan tengah.

"Saya fikir tiga pertahanan kami beraksi sangat baik," kata Southgate.

"Mereka bersama penjaga gol dapat memulakan permainan dari belakang dengan kesungguhan yang sebenar. Kami perlu membiasakan diri dengan mengambil risiko di kawasan tengah kerana itulah cara kami mahu bermain.

"Bagaimanapun, saya fikir mereka bermain dengan kecerdasan dan ketenangan.

"Pertahanan dan penjaga gol mampu menggunakan bola dengan baik. Kami mampu melaksanakan taktik sehingga kami dapat mencerobohi kawasan yang lebih tinggi.

"Masih banyak lagi kerja yang perlu dibuat dan kami masih boleh bertambah baik, ada banyak perkara yang kami mahu lihat ketika menentang Itali, ia adalah medan latihan yang sangat baik," tambahnya.