Pengurus Arsenal, Unai Emery, menjangkakan Aaron Ramsey akan kekal bersama pasukan itu walaupun kontraknya bakal tamat hujung musim ini.

Sejak Emery mengambil alih Arsenal pada awal musim ini, Ramsey dikhabarkan tidak akan menerima lanjutan kontrak bersama pasukan itu.

Semua pihak sudah menerima dengan hati terbuka bahawa pemain itu akan meninggalkan The Gunners, hujung musim ini.

Pemain tengah itu -- yang menjaringkan gol ketika Arsenal menewaskan Fulham semalam -- telah memasuki fasa enam bulan terakhir kontraknya dan sudah boleh memperbincangkan perpindahan bebas ke luar England.

Dia turut dikaitkan dengan perpindahan ke Paris Saint-Germain (PSG), Juventus, Real Madrid dan Bayern Munich.

Berdasarkan situasi itu, terdapat risiko yang perlu dilalui Arsenal dengan kemungkinan Ramsey akan meninggalkan pasukan itu lebih awal, namun Emery menjangkakan perkara itu tidak akan terjadi.

"Buat masa ini, dia adalah pemain kami dan saya berasakan dia akan kekal sehingga tamat musim ini.

"Dia beraksi baik ketika menentang Liverpool dan hanya bermain selama 15 minit ketika bertemu Fulham, namun tetap menjaringkan gol.

"Dia membantu untuk meningkatkan keyakinan kami dan memperoleh keputusan yang baik.

"Saya mahu dia menghekalkan fokus seperti itu sewaktu turun bermain," katanya.

Arsenal ketika ini sedang melalui badai kecederaan pemain pertahanan dan berkemungkinan memperkuatkan bahagian itu menjelang jendela perpindahan bulan ini.

Pertahanan tengah Chelsea, Gary Cahill, merupakan pemain yang disebut-sebut untuk menyertai pasukan itu, namun Emery menolak untuk mengulas perkara itu.

"Kita tidak akan bercakap tentangnya (Cahill).

"Ia bukan perkara mudah untuk mengubah dan meningkatkan pasukan ini dengan memanfaatkan jendela perpindahan.

"Namun, kelab ini sedang berusaha dan mencari faktor-faktor lain.

"Mungkin kami akan mengambil pemain baru.

"Jika keadaan mengizinkan, kami akan menandatangani satu atau dua pemain baru nanti," tambahnya.