Pengendali Arsenal, Unai Emery, mahu Mesut Ozil tampil lebih bersemangat bersama The Gunners dalam setiap perlawanan tatkala bekas pengurus Paris Saint-Germain (PSG) itu cuba mengubah nasib perancang tengah dari Jerman itu.

Selepas memberikan impak besar susulan perpindahannya daripada Real Madrid pada 2013, Ozil dilihat bergelut untuk meneruskan aksi cemerlang dalam beberapa musim terakhir.

Pemain berusia 29 tahun itu -- yang mengumumkan persaraan di peringkat antarabangsa selepas berakhir saingan Piala Dunia 2018 serta isu kontroversi mengenai disiplin susulan bergambar dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdoğan -- terus menjadi sasaran kritikan bersama kelab.

Dia gagal membantu pasukannya sewaktu Arsenal tewas 2-0 di tangan Manchester City dalam aksi pembukaan liga minggu lalu walaupun beraksi di laman sendiri.

Menjelang pertemuan dengan Chelsea awal pagi esok, Emery menegaskan Ozil masih bergelar pemain penting dalam pasukan sekiranya dia mampu kembali ke prestasi terbaik.

"Mengenai posisi, Ozil bermain hampir keseluruhan karier selaku pemain dengan peranan nombor 10 (di belakang penyerang) atau sayap kanan yang sering masuk ke dalam untuk mengutip bola," kata Emery.

"Jelas sekali dia memerlukan lebih banyak bola untuk memberikan lebih banyak pilihan ketika menyerang. Dia perlu melakukannya dalam setiap perlawanan, membantu kami."

"Sewaktu bertahan, semua pemain sangat penting. Ozil tidak perlu mengubah posisinya.

"Setiap pemain harus menambah aspek bertahan pada detik yang tepat dalam semua perlawanan. Terdapat masa yang sesuai untuk bertahan atau menyerang. Semua pemain memerlukan komitmen ini.

"Bagi saya, kami perlu memulakannya bersama-sama, tidak kira ketika menyerang atau bertahan. Saya mahukannya daripada semua pemain," tegasnya.