ARSENAL 1 HUDDERSFIELD TOWN 0

Arsenal melebarkan rentak tanpa kalah mereka dalam semua pertandingan kepada 21 perlawanan selepas menjinakkan Huddersfield Town 1-0, semalam.


Susulan itu, Unai Emery memberitahu pemainnya agar tidak terganggu dengan sebarang cerita di luar padang.

Kelmarin, sebuah akhbar tempatan menerbitkan rakaman yang memaparkan beberapa pemain Arsenal didakwa mengambil nitrous oxide sebelum musim ini bermula.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelab itu, mereka berjanji akan bercakap dengan pemain tersebut serta mengingatkan tanggungjawab mereka sebagai wakil kelab.

Emery berhasrat untuk mengekalkan tumpuan mereka selepas rembatan akrobatik Lucas Torreira pada minit ke-83 menghadiahkan mereka tiga mata, awal pagi tadi.

"Mungkin anda bercakap mengenai masalah di luar dari sini tetapi bagi saya, kelab dan bahagian dalaman kami tidak boleh membincangkan perkara itu," kata Emery dalam sidang media.

"Saya tidak mahukan sebarang gangguan. Saya fikir setiap pemain pada hari ini telah memberikan fokus kepada perlawanan.

"Ia perlawanan yang sukar, kami lambat panas tetapi kami mahukan kemenangan dan saya fikir kami memang berhak."

The Gunners mengumpulkan lima kad kuning dalam aksi itu yang menyaksikan Sokratis Papastathopoulos dan Shkodran Mustafi mengutip kad kuning kelima dalam kempen ini.

Ini bermakna kedua-dua pemain pertahanan itu akan digantung perlawanan untuk kunjungan ke Southampton, hujung minggu depan, selain turut kehilangan khidmat Rob Holding yang mengalami kecederaan lutut di Manchester United, Rabu lalu.

Bagaimanapun, Emery yakin bahawa dia mempunyai pilihan yang mencukupi di posisi berkenaan dengan ketua pasukan, Laurent Koscielny, kembali ke bangku simpanan dalam aksi pada awal pagi tadi buat kali pertama musim ini.

"Ketika ini, saya tidak tahu bagaimana kami akan bermain minggu depan," Emery bercanda. "Tetapi, kami mempunyai pemain yang mencukupi.

"(Stephan) Lichtsteiner diletakkan di pusat pertahanan (menentang Huddersfield), begitu juga semasa di Manchester. Koscielny dan Nacho Monreal juga akan kembali, jadi saya mempunyai pilihan pemain."