Unai Emery tidak mahu mengambil pusing mengenai khabar angin yang mengaitkan Mesut Ozil akan meninggalkan Arsenal.

Bekas pemain antarabangsa Jerman itu dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Stadium Emirates berikutan disisihkan sejak Arsenal seri 1-1 di Brighton & Hove Albion, 26 Disember lalu.

Bagaimanapun, Emery mendedahkan Ozil boleh diturunkan apabila Arsenal menjadi tuan rumah kepada Chelsea esok sambil menegaskan dia hanya memikirkan bagaimana untuk menggilap prestasi terbaik bekas pemain Real Madrid itu.

Ditanya tentang spekulasi yang mengelilingi Ozil dalam sidang media malam tadi, pengurus The Gunners itu berkata: "Saya tidak memikirkannya, saya hanya fikir bagaimana dia boleh membantu kami.

"Adakalanya dia membantu kami musim ini dengan mempamerkan aksi yang baik dan kadang-kadang tidak baik sepertimana pemain yang lain.

"Selain itu, dia telah ditimpa kecederaan dan belum bersedia untuk diturunkan. Selepas dua minggu berlatih dengan normal, mungkin esok dia sudah bersedia untuk diturunkan.

"Saya suka membangkitkan semangat yang sama ke atas semua pemain agar setiap pemain dapat memberikan kami aksi konsisten. Ia bukan mudah, adakalanya anda beraksi dengan lebih baik, adakalanya buruk. Saya bersikap adil terhadap kesemua pemain.

"Apa yang paling penting bagi saya ialah bagaimana dia dapat membantu kami secara konsisten selain cergas untuk mengikuti latihan harian dan beraksi.

"Ketika ini, dia sudah mengikuti latihan sejak dua minggu yang lalu. Dia sudah (bersedia)."

Emery juga enggan menjelaskan berita mengenai Ketua Pencari Bakat Arsenal, Sven Mislintat, yang dikhabarkan akan meninggalkan kelab itu sambil menambah: "Saya bekerjasama dengannya sepanjang dua minggu yang lalu, kami mengadakan dua atau tiga mesyuarat bersama-sama, kami bekerja dengan normal. Saya tidak tahu jika ada isu selain daripada itu.

"Saya tidak tahu (jika dia akan pergi). Apabila saya bercakap dengannya, semuanya normal.

"Perpindahan kali ini bukannya mudah untuk memburu pemain yang boleh membantu kami berdasarkan kumpulan pemain yang kami ada ketika ini.

"Saya ada bercakap dengan Sven dan (Pengarah Bola Sepak) Raul Sanllehi mengenai sebarang kemungkinan. Mereka sedang menelitinya.

"Bukan mudah untuk memancing pemain yang boleh memberikan persembahan hebat kepada kami ketika ini. Kami sedang cuba meminjam pemain," katanya lagi.