Lucas Torreira merupakan contoh buat pemain Arsenal yang lain berikutan tahap fizikalnya yang tinggi, kata Unai Emery.

Torreira muncul sebagai bintang Arsenal baru-baru ini. Pemain tengah itu menjaringkan gol ketika mereka mengalahkan seteru setempat, Tottenham, 4-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Tenaga dan gaya bertahan pemain antarabangsa Uruguay berkenaan telah memberikan perlindungan yang lebih baik kepada benteng Arsenal sungguhpun jaringan ke atas Spurs merupakan gol sulungnya dalam EPL.

Emery berasakan Torreira, yang tidak memulakan perlawanan EPL sehinggalah pada pertengahan September lalu, memperlihatkan kepada pemain Arsenal yang lain agar mempersiapkan fizikal menjelang jadual perayaan yang sibuk nanti.

"Prestasinya semakin baik. Setiap pemain yakin dan menggalas tanggungjawab, mereka saling membantu," kata Emery kepada wartawan. "Lucas Torreira memiliki kualiti yang tinggi selain keadaan fizikalnya.

"Saya mahu setiap pemain dapat bermain pada hari Ahad-Rabu-Sabtu dengan menampilkan persembahan yang hebat secara fizikal, taktikal dan teknikal.

"Lucas Torreira menampilkan kualiti yang tinggi," ujarnya.

Arsenal belum tewas sejak Ogos lalu -- mengharungi 20 perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan di bawah bimbingan Emery sejak menempa kekalahan dalam dua perlawanan pembukaannya ketika menentang Manchester City dan Chelsea.

Pengurus dari Sepanyol itu yang juga pemenang Liga Europa sebanyak tiga kali bersama Sevilla, berasakan falsafah permainannya mula diterima dalam kem The Gunners.

"Mula-mula, kami mahu mencipta satu gaya, satu idea," kata Emery. "Idea yang lebih kuat dengan penguasaan yang baik di atas padang dan dengan kawalan bola serta komunikasi yang baik antara kami untuk menguasai perlawanan.

"Bagaimanapun, kami tahu pihak lawan juga mahu melakukan perkara yang sama dan ketika kehilangan bola, usah memberi banyak ruang. Kami perlu pastikan mereka tidak mendekati kubu kami ketika mereka menguasai bola.

"Cabarannya adalah peningkatan dalam soal ini kerana kami melepaskan lebih banyak gol daripada yang sepatutnya. Keseimbangan kami adalah positif tetapi kami masih boleh memperbaiki aspek itu. Setiap hari kami melihat rakaman perlawanan dan memperbaiki pendekatan taktikal sebelum turun beraksi, kami kerap mengulangi.

"Kami mahukan keyakinan dalam setiap perlawanan dan kami bertambah baik dalam hal ini. Contohnya, ketika bertemu dua pasukan yang setaraf kami dalam perlawanan terakhir, fikiran pemain saya haruslah dalam kelompok empat terbaik. Saya rasa kami -- tidak mungkin mampu mengekalnya sepanjang 90 minit -- mendominasi sebilangan besar permainan itu."

Arsenal akan menyambut Huddersfield Town, malam ini.