Legenda Arsenal, Robert Pires, percaya pengurus baru, Unai Emery, adalah yang terbaik untuk ditandatangani kelab itu sejurus kempen lalu berakhir.

Emery tiba di Stadium Emirates pada Mei lalu sebagai pengganti kepada Arsene Wenger yang mengakhiri tempoh 22 tahun sebagai pengurus kelab London tersebut.

Dia telah membawa lima muka baru dengan pemain antarabangsa Uruguay, Lucas Torreira dan Matteo Guendouzi, yang berusia 19 tahun melengkapkan perpindahan minggu lalu bagi menyertai Bernd Leno, Sokratis Papastathopoulos dan Stephan Lichsteiner.

Bagaimanapun, Pires memberitahu Sky Sports: "Perpindahan terbaik bagi saya adalah Unai Emery, iaitu pengurus. Sudah tentu saya percaya kepada pemain, terutama pemain baru.

"Tetapi, buat Emery adalah sangat penting untuk memulakan kempen dengan baik dan dia sedar bahawa dia berada di kelab besar dan berdepan tekanan besar. Begitupun, saya fikir dia mempunyai karakter dan semangat yang besar.

"Dia pernah menang di Sepanyol dan Perancis, dia mempunyai pengalaman luas dan saya berharap dia dan Arsenal berjaya."

Arsenal akan memulakan musim Liga Perdana dengan menghadapi juara bertahan, Manchester City, pada 12 Ogos, diikuti dengan kunjungan ke pesaing London, Chelsea, pada 18 Ogos.