Emery mahu Arsenal kekal yakin tamat musim di empat teratas

By Staff Writer 24 April 2019 255
Emery mahu Arsenal kekal yakin tamat musim di empat teratas
Unai Emery mengekalkan keyakinannya mengenai kemampuan Arsenal untuk menamatkan musim ini di tangga empat teratas sambil mengingatkan pemainnya bahawa mereka tidak boleh membenarkan kekalahan kepada Crystal Palace, hujung minggu lalu, menjadi punca mereka tidak mencapai sasaran itu musim ini.

The Gunners tewas buat kali pertama di Stadium Emirates sejak Ogos lalu selepas dikejutkan dengan kekalahan 2-3 di tangan Crystal Palace.

Kekalahan itu juga menyaksikan skuad kendalian Unai Emery itu terlepas peluang untuk melonjak ke tangga ketiga liga.

Bagaimanapun, pesaing mereka dalam merebut slot kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan turut keciciran mata dengan Tottenham Hostpur tewas 0-1 kepada Manchester City, Chelsea terikat 2-2 dengan Burnley dan Manchester United dibelasah Everton 4-0.

Arsenal hanya ketinggalan satu mata di belakang pasukan di tangga keempat, Chelsea, dan akan melengkapkan perlawanan ke-35 musim ini dengan berdepan Wolves di Midlands Barat, awal pagi esok.

Emery yakin skuad kendaliannya itu masih belum mengaku kalah.

Bercakap dalam sidang media mengenai kekalahan kepada Palace, Emery berkata: "Kami melakukan kesilapan yang kebiasaannya kami tidak lakukan di tempat sendiri.

"Mereka memanfaatkan kesilapan itu untuk menghukum kami.

"Mereka mempunyai pemain yang bagus.

"Kami boleh menang dan kami boleh tewas, namun saya berasakan pasukan saya telah beraksi tekal dan aksi seperti hujung minggu lalu itu tidak boleh membuatkan kami hilang keyakinan.

"Kami perlu terus memiliki kekuatan mental kerana kami perlu menjadi kuat, yang pertama adalah keyakinan kami.

"Ia terletak di tangan kami (untuk menamatkan musim di tangga empat teratas) jika kami menang.

"Kami mahu menjadi pintar.

"Kami tidak menang Ahad lalu dan hari ini kami mungkin akan katakan tentang kepentingan meraih satu mata dalam perlawanan itu.

"Ia mungkin berlaku dalam perlawanan yang akan datang.

"Kami akan bersiap-sedia untuk memburu kemenangan, namun kami boleh menang, seri atau tewas.

"Situasi utama terletak di tangan kami andai kami menang, namun kami akan menghadapi perlawanan yang sukar," katanya.

Emery mengambil pendekatan berahsia dalam mengulas mengenai masalah kecederaan pasukannya dan dia tidak mahu mendedahkan sama ada Granit Xhaka sudah kembali pulih daripada kecederaan pinggul.

"Saya tidak akan memberitahu anda mengenai perancangan saya terhadap pemain, tentang sistem dan masalah kecederaan kami dalam kesebelasan utama.

"Saya mahu menyimpan segala maklumat itu sehingga perlawanan esok.

"Maaf, saya fikir itulah yang terbaik buat kami," tambahnya.

About Author

Staff Writer

Comment