Pengurus Arsenal, Unai Emery, membuat keputusan untuk tidak mendapatkan Mohamed Salah ketika di Paris Saint-Germain (PSG) kerana berpendapat bintang Liverpool itu tidak bersedia untuk bersama kelab besar.

Emery baru-baru ini menyifatkan Salah sebagai salah seorang daripada lima pemain terbaik dunia tetapi meragui kemampuannya untuk mengatasi prestasi ketika dua tahun berada di Roma.

The Gunners bakal berdepan bintang sensasi itu apabila mereka bertandang ke Anfield berdepan Liverpool awal pagi esok.

Salah, 26, menuju ke perlawanan itu dengan lima gol dalam empat perlawanan terakhir liga, sekali gus meneruskan rentetan jaringan tatkala dia bergelar penjaring terbanyak musim lalu dengan 32 gol.

Kempen cemerlang yang ditunjukkannya musim lalu jelas mengejutkan Emery.

"Kami bercakap tentang usaha untuk membawa Salah ke PSG sewaktu dia bersama AS Roma," kata Emery.

"Kami meraguinya, kemudian dia ke Liverpool dan segala keraguan telah lenyap."

Emery juga menerangkan tentang perasaan ragu itu apabila menambah: "Bagaimana dia boleh mengatasi tekanan bersama kelab besar, seperti PSG sebagai contoh."

Bagaimanapun, bekas pengurus Sevilla itu tetap tidak gentar untuk berdepan pemenang Kasut Emas liga musim lalu itu.

"Kini, jika anda bercakap tentang lima pemain terbaik dunia, seorang daripadanya pasti Salah," tambah Emery.

"Saya boleh beritahu anda hari ini jika kami mendapatkannya, kami mempunyai salah seorang daripada lima pemain terbaik dunia."

Arsenal kini ketinggalan 13 mata di belakang Liverpool yang masih belum tewas dalam kesemua 19 aksi liga serta sedang mendahului carta dengan kelebihan enam mata.