Elneny dihujani tawaran -- ejen 

By Staff Writer 17 October 2019 15076
Elneny dihujani tawaran -- ejen 
Leicester City, West Ham dan Valencia pernah cuba menandatangani Mohamed Elneny daripada Arsenal ketika jendela perpindahan, menurut ejen pemain tengah itu.

Elneny berhijrah ke Besiktas secara pinjaman semusim pada Ogos lalu selepas bukan lagi menjadi pemain pilihan di Stadium Emirates.

Pemain antarabangsa Mesir itu juga dikatakan dikehendaki oleh kelab lain manakala laporan di Itali minggu ini mengaitkan AC Milan mungkin akan cuba memancingnya dalam jendela Januari depan. 

"Dia menerima banyak tawaran pada musim panas lalu yang diketuai oleh Leicester City, West Ham dan Valencia tetapi Besiktas berjaya mencapai kesepakatan dengan Arsenal," kata ejen, Alan Nazmy, kepada saluran stesen televisyen Mesir, Time Sport.

"Terdahulu, Milan dan Roma juga cuba menandatangani pemain berkenaan dalam jendela perpindahan musim lalu, namun rundingan itu gagal mencapai persetujuan, malah dia menerima lebih daripada satu tawaran."

Ditanya mengenai minat terbaru daripada Milan, Nazmy berkata: "Saya tidak boleh mendedahkannya."

Elneny telah membuat 89 penampilan buat Arsenal dalam kesemua pertandingan selepas tiba daripada pasukan Switzerland, FC Basel, pada 2016, termasuk 17 penampilan musim lalu.

Pengurus Arsenal, Unai Emery, akan membenarkan pemain berusia 27 tahun itu untuk angkat kaki susulan ketibaan Dani Ceballos dan kemunculan produk akademi, Joe Willock, namun pintu buatnya untuk kembali belum tertutup sepenuhnya sehinggalah tahun depan.

"Emery tidak memintanya agar keluar daripada Arsenal kerana faktor prestasinya," kata Nazmy. "Dia hanya menggesa (Elneny) agar mengambil peluang ketika ini untuk meningkatkan prestasinya dan kembali.

"Dia mungkin akan kembali memperkuatkan Arsenal sekali lagi, kemungkinan itu masih kuat."
 

About Author

Staff Writer

Comment